Archive for category Umum

Kesenangan dan Kesusahan Di Dunia

Ketenangan hidup adalah syurga di dunia ini. Sebelum kita berhijrah ke alam akhirat yang menjanjikan syurga atau neraka (nauzubillah), di dunia pun Allah s.w.t telah menunjukkan kepada kita perbezaan antara syurga dan neraka.

Jika kita mengalami kesusahan, harus kita ingat kesusahan yang lebih dahsyat lagi di neraka.

Jika kita menikmati kesenangan dan kebahagiaan, maka harus kita ingat di akhirat nanti di dalam syurga nikmat kesenangan tidak dapat digambarkan.

Justeru kita perlu berusaha dan berlumba-lumba untuk mendapatkan kesenangan yang dijanjikan di syurga oleh Allah s.w.t dengan menjalani kehidupan yang diredhai-Nya.

Pada masa yang sama kita harus berusaha keras mengelakkan diri kita daripada mengalami kesusahan yang lebih dahsyat di akhirat kerana kesusahan di dunia yang sedikit ini pun kita rasa amat perit sekali untuk menempuhinya.

Advertisements

Tinggalkan komen

Kunjungan/Tatapan Tahun 2012

Laporan Tahun 2012 blog SuaraTaqwa ini disediakan oleh WordPress.com stats.

Petikannya adalah di sini:

600 people reached the top of Mt. Everest in 2012. This blog got about 5,700 views in 2012. If every person who reached the top of Mt. Everest viewed this blog, it would have taken 10 years to get that many views.

Dalam tahun 2012, 600 orang mencapai ketinggian puncak Gunung Everest. Blog ini mendapat sekitar 5,700 kunjungan / tatapan dalam tahun 2012. Sekiranya setiap orang yang mencapai tahap puncak Gunung Everest melihat blog ini, ia akan mengambil masa selama 10 tahun untuk mendapatkan kunjungan/tatapan sebanyak itu .

Sila klik di sini untuk paparan lengkap.

Tinggalkan komen

Ucapan Innaa Lillaahi Wainnaa Ilaihiroji’uun

Didahului dengan salam mengiringi hari Jumaat yang penuh berkat dan mulia.
Assalmu’alaikum warohmatullaahi wabarokaatuh buat sahabat-sahabat sekalian.

Apabila mendengar sesuatu berita kematian orang-orang Islam, ucapan yang sering diucap atau sebati dengan jiwa kita ialah “Innaa Lillaahi Wainnaa Ilaihiroji’uun”.

Dalam pada itu cuba kita perhatikan bagaimana reaksi kalangan kita bila menerima berita, perkhabaran atau kejadian tidak baik yang selain daripada kematian.

Antara kita ada yang lebih teruja untuk mengetahui lebih lanjut dengan mengemukakan persoalan seperti “dimana?”, “bila?” dan sebagainya sehingga kita terlupa apa dulu sepatut diucapkan.

Atau adakah kita ingat ucapan itu dikhususkan untuk hal-hal kematian sahaja?

Sebenarnya perkara ini jelas dinyatakan di dalam al-Quran yang mengingatkan kita supaya mengucapkan kalimah ini apabila ditimpa sebarang musibah.

Ia bukan untuk hal-hal kematian sahaja. Ucapan “Innaa Lillaahi Wainnaa Ilaihiroji’uun” adalah untuk menyambut sebarang perkhabaran atau kejadian tidak baik yang datang atau menimpa kita.

Saya juga sering terlupa. Saya menyatakan hal ini adalah untuk peringatan buat diri saya dan sahabat-sahabat sekalian kerana ingat-mengingatkan itu adalah bermanfaat untuk orang-orang beriman.

Wallaahu ‘a’lam.

1 Komen

Anak Yatim Si Penjaja Kismis Doa

Seorang anak yatim berdiri…
Seorang anak yatim berdiri di depan sebuah bank
Di tangannya sebuah bekas
Dapat kubaca dari jauh – di dalamnya berisi Kismis Doa

Dia tidak bersuara
Hanya menghulur sedikit bekas itu
Ke arah orang-orang yang datang dan pergi
Keluar masuk pintu bank
Tempat dia berdiri itu

Di matanya bersinar harap
Agar ada tangan-tangan yang sudi
Membayar seringgit untuk sekotak Kismis Doa
Yang dijajanya

Ada yang lalu keluar masuk bank itu
Seperti tidak ada masa untuk memandang
Anak itu…

Ada yang seperti tidak nampak
Seakan ingin menyelamatkan wangnya yang seringgit
Agar tidak bertukar tangan dengan sekotak Kismis Doa
Yang dijaja anak itu…

Ada yang berjalan masuk ke bank itu
Hampir terlanggar si anak penjaja Kismis Doa
Yang seolah mengganggu urusannya
Untuk mengeluarkan seberapa jumlah
Wangnya dari bank
Begitu juga bila keluar
Orang itu seperti tidak nampak
Anak dan bekas Kismis Doanya
Yang dihulurkan itu…

Namun di wajah anak itu
Tidak sedikit pun terukir duka
Tidak secebis pun terguris kecewa
Tanpa meminta-minta
Dia tetap jua
Menghulur dan menghulur
Kepada setiap mereka
Yang keluar masuk pintu bank itu

Hari ini tidak begitu pedih baginya
Kerana masih ada tangan-tangan
Yang sudi menukarkan wang seringgit
Dengan sekotak Kismis Doa
Yang dijajanya

Ada yang menghulurkan dua ringgit
Untuk menukarkanya
Dangan dua kotak Kismis Doa

Tengahari semakin terik panasnya
Lalu dia membongkok ke arah beg
Kecil dan lusuh
Tersandar di sisi dinding bank
Sambil berlutut dihisapnya beberapa teguk air kotak
Buat pembasah tekaknya
Yang kering
Dan membekalkan tenaga
Untuk sekeping tubuh kurusnya

Dan berdiri semula
Untuk terus mengulurkan bekas Kismis Doa
Yang dijajanya

Ohh!
Mengapa begitu besar nilai wang seringgit
Di celah puluhan atau ratusan ringgit
Dalam genggaman tangan-tangan manusia
Untuk dihulur secara percuma
Kepada seorang anak yatim
Seperti si penjaja Kismis Doa?

Tinggalkan komen

Sebaik-baik Wanita

Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud sebaik-baik wanita ialah yang cepat berkahwin dan cepat mendapat anak. Amalan orang tua-tua kita dulu adalah selaras dengan hadis tersebut. Mereka segera mengahwinkan anak gadis mereka apabila sudah cukup syarat dari segi syarak.

Pada waktu dulu gadis berumur 17 tahun sudah berkahwin. Ada yang semuda umur 15 tahun. Mereka dikurniakan zuriat yang ramai – suatu kebanggaan baginda Nabi atas umatnya.

Hari ini ramai wanita lewat berkahwin. Ada yang sengaja ingin lewat kahwin kerana belum bersedia. Ada yang lebih mementingkan kerjaya. Di samping itu terdapat juga yang sudah bersedia tetapi tiada jodoh atau pinangan. Apa kan daya?

Ibu bapa dahulu sanggup bertanya khabar sesama saudara dan rakan tentang jodoh anak-anak gadis mereka. Tetapi ramai ibu bapa hari ini telah tidak mengambil kisah hal itu. Mereka menyerahkan urusan jodoh pada anak gadis mereka.

Ada yang berpendapat anak-anak gadis kini tidak boleh ditentukan jodohnya oleh ibu bapa. Kononnya zaman telah berubah – zaman moden katakan. Sebab itu ramai juga yang sudah berumur tetapi masih tidak kahwin. Bukan tidak mahu tapi…

Apakah sabdaan Nabi tadi tidak sesuai lagi pada zaman moden ini?

Menurut kawan saya seorang ustaz yang mengajar pelajar sekolah tahfiz, selain membesarkan dan memberikan didikan agama, satu lagi kewajipan ibu bapa atas anak gadis mereka ialah mencarikan jodoh untuk anak gadisnya. Tetapi ramai ibu bapa hari ini seolah lupa akan KEWAJIPAN yang telah jelas dipesan oleh Rasulullah s.a.w.

Ibu bapa seakan berpuas hati kalau anak gadis mereka dapat belajar di peringkat tinggi dan mendapat pekerjaan yang baik.

Sebenarnya perkara berkenaan jodoh untuk anak gadis adalah suatu perkara yang besar dan perlu diambil berat. Walau setinggi mana pun pangkat, darjah kemuliaan seorang wanita itu adalah sebagai seorang isteri kepada seorang suami, seorang ibu kepada anak-anak.

Sebab itu sedemikian sabdaan Nabi bahawa sebaik-baik wanita adalah yang cepat berkahwin dan cepat pula mendapat anak (zuriat).

Semoga kita sebagai ibu bapa dapat mengamalkan pesanan Nabi ini dan sampaikan pada saudara-saudara kita yang lain.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan komen

Bantulah Perniagaan Sesama Muslim

Assalamu’alaikum w.b.t.

Bertemu kembali. Apa khabar? Harap kita semua dalam keadaan sihat wal-afiat dan dilimpahi Rahmat serta Keredhaan Allah S.W.T.

Saudara, kekuatan agama Islam dalam sesebuah negara ada kaitan dengan kekuatan ekonomi orang-orang Islam di negara itu.

Tapi hari ini kebanyakan umat Islam masih tidak mengambil berat hal-hal untuk membantu perniagaan golongan seagama. Kita berperasaan semacam tidak kisah akan perkara ini.

Kita lebih senang dan selesa membeli-belah dan berbelanja di kedai-kedai orang-orang bukan Islam, hatta sesetengah mereka adalah anti-islam. Kita masih tidak kisah, terus setia mengunjungi kedai mereka saban waktu.

Sedangkan masih terdapat kedai-kedai dan perniagaan orang Islam yang ada menjual barangan yang kita perlukan. Mungkin lokasinya agak jauh sedikit atau harga yang lebih sedikit tinggi.

Dengan alasan dangkal itu (kepetingan diri dan jangka masa pendek) kita lebih suka tidak membeli di kedai-kedai orang-orang yang sebangsa atau  seagama dengan kita.

Lebih teruk lagi di sesetengah tempat, terletak kedai orang Islam dan bukan Islam sebelah-menyebelah. Tapi sayang sejuta kali sayang, kedai yang bukan Islam tadi dipenuhi oleh pengunjung setia terdiri daripada orang-orang Islam, manakala kedai orang Islam di sebelah pula lengang sekali, sunyi-sepi, sedangkan barangan yang dijual tidak kurang banyaknya.

Itulah sikap kita. Bila darurat dan dalam kesusahan, adakah pemilik kedai bukan Islam yang akan menolong kita? Atau pemiliki kedai yang kita ‘pulau’kan itu akan sanggup bermandikan darah demi membela bangsa dan agama.

Sedarlah sedikit, jangan kerana perbezaan harga 10 sen dan 20 sen, maka kita sanggup membelakangkan saudara seagama dengan kita berniaga. Padahal jika perniagaan mereka maju, kita juga yang dapat tumpang senang kerana setidak-tidaknya mereka akan membayar zakat perniagaan dan wang zakat itu akan diagihkan pula kepada golongan miskin Islam.

Tetapi kita sengaja tidak mahu fikirkan hal itu. Kita lebih suka kayakan orang lain kerana mahukan kesenangan yang sementara. Memang kita rasa senang, tetapi kesenangan yang kita cuba nikmati itu sebenarnya menjadi penyebab kepada kesusahan buat anak-cucu kita pada masa akan datang.

Dari itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian agar mengambil berat hal ini dan utamakanlah perniagaan serta barangan buatan orang-orang Islam dengan itu mudah-mudahan dapat membantu meningkatkan ekonomi orang Islam, sekali gus membantu meningkatkan kekuatan Islam di bumi bertuah ini.

Sekian, buat kali ini. Wassalam.

Tinggalkan komen

Budaya Pembesar Suara

Sekarang ini boleh dikatakan kebanyakan masjid dan surau menggunakan pembesar suara untuk memperdengarkan azan masuk waktu solat.

Dengan suara azan yang dapat didengar lebih jelas, ramai berpendapat ia dapat menarik orang Islam datang mengerjakan solat berjemaah di masjid atau surau.

Ada yang faham lebih kuat suara azan melalui pembesar suara lebih bagus. Ada sesetengah surau dan masjid tidak bersikap prihatin dengan menetapkan tahap ketinggian bunyi (volume) sehingga menyakitkan telinga penduduk setempat.

Ia sudah jadi seperti memekak. Bukan oran bukan Islam sahaja, malah orang Islam sendiri pun rasa terganggu sebab bunyi pembesar suara terlalu kuat.

Sehingga pada waktu subuh azan yang dilaungkan mengejutkan bayi-bayi dan anak-anak kecil yang sedang nyenak tidur. Dengan sebab itu ibu dan ayah bayi berkenaan terganggu daripada persediaan untuk solat subuh awal waktu kerana terpaksa menguruskan bayinya.

Tidakkah mereka yang dipanggil AJK surau atau masjid terfikir akan perkara ini?

Kini memperdengarkan suara azan melalui pembesar suara di masjid-masjid dan surau-surau telah merosakkan kemurnian agama Islam kerana kejahilan tentang kehalusan Islam oleh mereka bergelar AJK surau.

Tanpa memikirkan masalah orang lain, tahap bunyi pembesar suara dikuatkan setakat yang mereka suka. Inikah yang disuruh oleh Islam? Inikah yang diajar oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W?

Inilah yang dikatakan kabur dalam cahaya. Pergi ke masjid dan berjubah tetapi tidak dapat membezakan apa yang baik dan apa yang tidak baik.

Padahal hati yang bersih yang terbit daripada amalan agama yang ikhlas dapat mengerti mana yang buruk dan baik. Hati yang bersih dapat melihat kebenaran biarpun berada dalam suasana gelap dan kelam masyarakat.

1 Komen