Archive for category Tauhid

Islam, Iman dan Pengorbanan

Islamnya seseorang dengan perakuan dan penyaksian bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan penyaksian bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul serta pesuruh Allah.

Penyaksian yang membenarkan akan keEsaan Allah SWT dan keRasulan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa agama Islam yang suci, tinggi lagi sempurna.

Iman merupakan cahaya hati yang menjadi penyuluh jalan ketaatan dan keredhaan Allah SWT. Makin terang cahaya, makin tinggi keyakinan. Makin tinggi keyakinan, makin makin nyata penyaksian. Makin nyata penyaksian, makin tinggi ketaatan dan penghambaan kepada Tuhan.

Justeru pentingnya kita melakukan usaha atas iman. Jika perkara yang zahir memerlukan usaha untuk menjaga serta memliharanya, maka usaha untuk kita menjaga dan mempertingkatkan iman adalah lagi perlu dan penting.

Maka usaha mempertingkatkan keimanan sudah pasti menuntut akan pengorbanan terutama melawan keinginan hawa nafsu yang sememangnya lebih gemar pada cara kesenangan.

Pengorbanan melalui mujahadah diri akan membukakan jalan dan pintu ilmu kefahaman akan hakikat pengabdian diri kepada Tuhan Sekalian Alam.

Tinggalkan komen

Allah SWT Memandang Bukan Pada Rupa Paras

Allah swt Tuhan yang mencipta semua manusia dengan pelbagai rupa paras. Rupa paras ciptaan Allah adalah semuanya baik dan elok, sesuai dengan seseorang itu sendiri.

Tetapi pada pandangan manusia rupa paras ciptaan Allah swt ada perbezaannya. Ada yang cantik, kurang cantik, tidak cantik. Ada yang putih, ada yang sawo matang, dan ada yang hitam legam.

Baik cantik atau pun tidak pada pandangan manusia, rupa paras atau wajah bukanlah tempat atau perkara yang menjadi ukuran Allah swt terhadap seseorang.

Yang menjadi ukurun ialah hati. Ulama’ mengatakan bahawa Allah swt tidak menilik iaitu meneliti akan kecantikan dan keelokan rupa kamu tetapi Dia menilik akan keelokan dan kecantikan hati kamu.

Hati yang elok ialah hati yang bersih, suci daripada sifat-sifat keji. Lebih bersih hati maka lebih bersinarlah cahaya tauhid kepada Allah swt. Dan lebih elok pula akhlak insan kerana hati yang suci adalah tempat terbit akhlak yang elok dan terpuji.

Semoga Allah swt memberikan Taufik dan HidayahNya untuk kita mendapat jalan, petunjuk dan kekuatan kepada kita agar berusaha membersihkan hati.

Kerana Allah swt tidak memandang pada rupa paras kita, tetapi Dia hanya memandang pada kesucian dan kebersihan hati kita.

Wallahu’a’lam.

Tinggalkan komen

Syukur Sabar Redha

Syukur atas apa yang dikurniakan Allah s.w.t
Sabar atas segala ujian-Nya
Redha atas takdir dan ketentuan Yang Maha Kuasa

Berbahagialah orang-orang yang memiliki
Ketiga-tiganya – syukur, sabar, redha
Kerana ia umpama benih, tanah dan air
Dengannya tumbuh bercambah segala sifat-sifat terpuji
Segala sifat dalam runtunan akhlak terpuji
Seperti qanaah dan tawadduk menjadi penghias peribadi

Berbahagialah dan tiada berdukacita
Orang-orang yang memiliki ketiga-tiga sifat itu
Syukur, sabar dan redha

Marilah kita sama-sama
Berazam, berdoa dan berusaha
Agar kita dapat mencapai kebersihan hati
Hati yang sedia diisi
Dengan ketiga-tiga sifat tadi.

Tinggalkan komen

Perbetulkan Niat Amalan Kita

Matlamat hidup orang-orang beriman ialah mencari keredhaan Allah s.w.t.

Justeru amat penting untuk kita agar sentiasa menyemak niat kita dalam setiap amalan kita agar setiap amalan baik yang kita kerjakan adalah ikhlas semata-mata kerana Allah.

Salah satu cara ialah dengan memohon doa kepada Allah s.w.t agar mengurniakan kita hati yang ikhlas. Jika dipohon secara berterusan nescaya Allah s.w.t akan mengurniakan apa hambaNya minta.

Kita boleh memohon doa semudah ini : “Ya Allah, perbetulkanlah niatku dalam setiap amalanku agar ikhlas semata-mata kerana Mu Ya Allah!”.

Wallaahu ‘a’lam.

2 Komen

Kebersihan Hati

Kekotoran pada sehelai kain yang putih mudah dan jelas sekali untuk dilihat. Jika tiada kekotoran maka kain yang putih akan jelas bersihnya.

Tetapi bagaimana untuk kita melihat kekotoran hati? Bagaimana pula menyuci kekotoran hati dan menikmati kebersihannya?

Perasaan dengki dan dendam adalah antara petanda hati telah dijangkiti kekotoran. Begitu juga bermacam-macam lagi sifat buruk dan keji (mazmumah) yang apabila bersarang di dalam hati akan terzahir dalam bentuk perbuatan yang dilakukan sama ada kita sedar atau tidak.

Kadang-kadang kelakuan buruk disebabkan kekotoran hati senang sekali boleh dilihat umpama kekotoran yang terkena pada sehelai kain putih.

Sesetengah keburukan yang lain pula hanya boleh nampak bila kita melihat dengan mata hati dengan ilmu yang bersandarkan Al Quran dan Hadis (sunnah).

Kain putih akan ada harganya jika ia bersih dari kekotoran. Jika ada kekotoran ia perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Begitu juga dengan hati. Hati yang bersih sahaja yang akan terselamat dari siksaan api neraka. Kerana hati yang kotor adalah api neraka terlebih dahulu digunakan untuk membersihkannya. Demikian sekiranya seseorang kembali kepada Allah s.w.t dalam keadaan hati yang kotor. Nauzubillahi minzaalik.

Manakala satu daripada kewajipan seorang muslim semasa hayatnya ialah menyucikan hati daripada kekotoran sehingga kembali kepada Allah s.w.t dengan hati yang bersih, hati yang sejahtera, atau disebut sebagai jiwa yang tenang dengan Allah s.w.t redha kepadanya sebagai hamba.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah menilai tahap kebersihan hati kita semoga dengan itu akan terbuka jalan untuk kita berusaha dan bermujahadah membersihkan hati. Sesungguhnya usaha membersihkan hati adalah bertentangan dengan kehendak hawa nafsu yang sememangnya lebih cenderung dan gemar kepada keseronokan.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan komen

Sepi dan Diam

Biarlah, biarlah, biarkanlah
Masa berlalu tanpa sebarang bicara
Kerana daku lebih senang dan selesa
Dalam diam dan sepi
Sepi itu bukan diam
Sebaliknya sepi adalah kesendirian
Dengan diri sendiri
Walau di mana berada
Kesendirian jua memberi ketenangan
Dapat melahirkan rindu dan kecintaan kepada Tuhan
Mengenang nikmat
Limpahan rahmat daripada Yang Maha Pemurah
Kesendirian dan diam adalah
Dua lampu terang
Menyuluh faham
Membuka apa yang terahsia

Tinggalkan komen

Menghormati Bulan Ramadhan

Tengah hari Jumaat lepas panas terik. Lebih kurang 10 minit lagi akan kedengaran azan masuknya waktu solat fadhu Jumaat. Selepas mengisi minyak kenderaan di stesen minyak Fasa I Bandar Baru Bangi, saya melewati kawasan gerai makan di sebelah stesen minyak itu.

Tidak pernah saya lihat sebelum ini pada bulan ramadhah seperti suasana di sebuah kedai hujung simpang jalan kedai di tapak pasar malam itu. Sekumpulan kaum India berpakaian seragam seperti pekerja kilang – lelaki dan perempuan sedang menikmati makan tengah hari pada hari yang panas terik dan menguji kehausan dan kelaparan orang-orang yang sedang berpuasa.

Sesiapa sahaja yang lalu di situ boleh nampak dengan jelas suasana mereka yang menjamu selera kerana mereka makan secara terbuka di ruang kedai yang berbentuk gerai itu. Sungguh berselera sekali seperti tidak ada rasa bersalah kerana tidak menghormati orang-orang Islam yang sedang berpuasa.

Senario ini mungkin tidak akan terjadi sekiranya orang-orang bukan Islam tahu atau diajar cara-cara menghormati bulan ramadhan dan orang-orang yang sedang berpuasa. Adakah ini yang dimaksudkan dengan kebebasan beragama? Apakah pandangan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau badan-badan agama tentang perkara ini?

Diceritakan kisah seorang Manjusi memarahi anaknya. Majusi itu mendapat tahu anaknya telah makan di khalayak ramai dalam bulan ramadhan. Tatkala anaknya pulang Majusi itu bertanya kepada anaknya, “tidakkah kamu tahu orang-orang Islam sedang berpuasa?” memarahi anaknya kerana tidak menghormati orang-orang Islam yang sedang berpuasa.

Lihatlah, pada zaman dahulu seorang Majusi pun tahu dan mengmbil berat dalam soal menghormati bulan ramadhan dan orang-orang Islam yang sedang berpuasa. Tetapi kita sendiri boleh lihat keadaannya apa yang sedang berlaku…

Diceritakan juga Majusi itu telah meninggal dunia. Seorang jirannya yang beragam Islam telah bermimpi si Majusi itu telah dimasukkan ke dalam syurga. Lalu jirannya bertanya “bagaimana kamu boleh masuk syurga”.

Si Majusi itu memberitahu semasa dia hendak mati, malaikat telah datang mengajarnya mengucapkan dua kalimah syahadah dan mati sebagai seorang Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. Disebabkan Allah S.W.T suka dengan perbuatannya yang mengambil berat tentang mengormati bulan ramadhan dan orang-orang Islam yang sedang berpuasa maka Allah S.W.T telah menjadikannya mati sebagai seorang beriman dan memberikannya balasan syurga.

Semoga kita sama-sama dapat menunaikan tanggungjawab kita agar kesucian bulan ramadhan terus dihormati dan dipelihara.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan komen