Archive for category Sunah

Antara Solat Sunat Ba’diah dan Berdoa Bersama-Sama Imam Selepas Solat

Tahukah kita hukum solat sunat sebelum (qobliah) dan selepas solat fardhu (ba’diah, kecuali untuk solat Asar dan Subuh)?

Mengikut pembelajaran saya, hukum amalan tersebut adalah sunat Muakkad iaitu sunat yang diberatkan.

Namun sayang sekali jika diperhatikan terdapat sesetengah para jemaah yang keliru mana satu amalan yang utama selepas solat fardhu iaitu antara berdoa secara berjemaah bersama imam atau mengerjakan solat sunat ba’diah.

Ada yang sanggup setia menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam tetapi selepas itu bangkit meninggalkan surau atau masjid tanpa mengerjakan solat sunat ba’diah.

Mungkin ahli jemaah berkenaan mengerjakan solat ba’diah di rumah masing-masing dan itu adalah yang terbaik.

Tinggalkan komen

Doa Ketika Mengambil Wudhu’

Assalaamu’alaikum wbt.

Seperti amalan-amalan wajib yang lain, mengambil wudhu’ mempunyai amalan sunat tersendiri. Antara lainnya ialah membaca doa-doa khusus bagi setiap rukun dan sunat wudhu’.

Doa-doa tersebut boleh dibacakan di dalam hati sahaja. Yang paling penting ia hadir, yakni menghayati apa yang didoakan.

Doa ketika membasuh kedua-dua tangan ialah doa meminta keberkatan daripada Allah SWT seperti “Ya Allah, kurniakanlah daku Keberkatan”.

Doa ketika berkumur pula ialah meminta agar lidah kita banyak membaca Al-Quran seperti “Ya Allah, jadikan mulut dan lidahku ini banyak membaca Ayat-Ayat SuciMu”.

Doa ketika memasukkan air ke dalam hidung ialah meminta Allah SWT mengurniakan kita syurganya seperti “Ya Allah kurniakanlah daku bauan SyurgaMu”.

Doa ketika mengeluarkan air ke hidung pula adalah meminta Allah SWT menjauhi kita daripada neraka seperti “Ya Allah, lindungilah daku daripada bauan neraka”.

Kesemua doa-doa di atas ada dalam bahasa Arabnya dan boleh dirujuk di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang wudhu’.

Wallahu ‘a’lam.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita semua untuk mengamalkan doa-doa wudhu’ yang diajarkan oleh Baginda Nabi saw. Aamiin.

Tinggalkan komen

Bahaya Perempuan Keluar Rumah

Assalaamu’alaikum buat sahabat SuaraTaqwa yang dikasihi sekalian.

Kini kita kerap mendapat berita tentang kes-kes jenayah yang terjadi pada kaum perempuan terutama anak-anak gadis yang muda remaja.

Jika kita renung dan perhatikan, kebanyakan kes jenayah tersebut berlaku di luar rumah iaitu semasa mangsa berada di luar kediaman dan tanpa pengawasan ibu bapa.

Golongan perempuan adalah golongan yang lemah biar berapa pun usia dan sihat fizikal namum sifat lemah dan sifat keperempuanan tetap tidak terpisah daripada mereka lantas mendedahkan mereka pada ancaman golongan lelaki yang berniat jahat.

Memang benar pesan Baginda Nabi saw mengingatkan agar wanita yang ingin keluar rumah hendaklah ditemani oleh mahramnya iaitu kaum keluarga yang tidak sah menikahinya.

Tetapi masyarakat hari ini nampaknya seperti mengambil mudah akan hal ini dengan sewenang-wenang membiarkan anak-anak gadis keluar rumah tanpa sebab dan keperluan yang mendesak. Adakah kita termasuk dalam golongan yang tidak mengambil berat akan hal anak-anak gadis kita? Nauzubillah.

Selaras dengan hukum-hakam Islam yang tidak berubah merentas masa, maka pesanan Rasulullah adalah sentiasa releven dan wajar dipatuhi oleh umat Islam.

Jika kita umat Islam mengambil berat akan pesanan Baginda Nabi saw, nescaya segala masalah dunia yang melanda hari ini termasuk gejala jenayah terhadap golongan wanita dapat dibendung.

Wallahu’a’lam.

1 Komen

Mandi Sunat Hari Jumaat

Dalam Islam, penghulu sekalian hari adalah hari Jumaat. Allah SWT tidak menjadikan sesuatu hari yang besar itu tanpa sebarang amalan khusus yang dapat menambahkan lagi ganjaran pahala kepada hambaNya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Menjadi kebiasaan kita rakyat di bumi Malaysia ini mandi pada setiap hari. Tidak terkecuali juga pada hari Jumaat. Kita mandi mempersiapkan diri untuk keluar rumah mencari rezeki.

Atau kalau bukan pada waktu pagi, kita akan mandi bila pulang ke rumah bagi membersihkan kotoran badan. Mandi dengan niat membersihkan badan mendapat pahala di sisi Allah.

Mandi sunat hari Jumaat adalah amalan khusus untuk hari Jumaat. Dengan mandi sunat hari Jumaat, kita akan mendapat ganjaran yang lebih berbanding dengan mandi biasa.

Apa yang dimaksudkan dengan mandi biasa? Mandi biasa, sebagaimana disebut tadi adalah mandi untuk membersihkan badan dari kotoran tetapi tidak diniatkan khusus dengan amalan mandi sunat tertentu seperti yang disyariatkan oleh Agama kita.

Antara amalan mandi sunat khusus ialah mandi sunat hari Raya Aidil (Eidul) Fitri dan mandi sunat Hari Raya Aidil Adha.

Walaupun kita rasa badan kita sudah bersih dengan mandi biasa, tetapi ia tetap tidak akan menyamai mandi khusus seperti mandi sunat hari Jumaat.

Jadi daripada kita mandi biasa pada hari-hari Jumaat, adalah lebih baik kita tukar kepada mandi Sunat Hari Jumaat. Ia adalah sunnah Baginda Nabi saw yang sudah pasti mempunyai kebaikan, kelebihan dan ganjaran tersendiri.

Mungkin ada yang tidak pasti bagaimana mandi sunat Hari Jumaat? Apakah rukun-rukunnya?

Rukun mandi sunat Hari Jumaat ada dua. Pertama niat (dalam hati). Sebagai contoh “aku mandi sunat hari jumaat kerana Allah Taala”. Jangan pula kita ambil pusing soal niat. Yang penting semasa mencurah air ke badan ingatlah bahawa mandi kita ini adalah mandi sunat hari Jumaat, dan kita buat ini kerana Allah SWT semata-mata.

Rukun yang kedua ialah meratakan air ke seluruh anggota badan. Untuk mandi sunat seperti hari Jumaat dan sunat Hari Raya, bahagian anggota badan yang menjadi rukun atau wajib diratakan air adalah sama dengan anggota yang wajib diratakan semasa mandi wajib (hadas besar).

Dengan kata lain rukun mandi sunat dan mandi wajib adalah sama iaitu i) Niat dan ii) Meratakan air. Cuma niatnya yang berbeza mengikut mandi tertentu.

Semoga Allah SWT memberikan Taufik dan HidayahNya agar kita dapat mengamalkannya.

Wallahu ‘a’lam.

5 Komen

Antara Kekayaan Harta dan Kebahagiaan Hidup

Allah s.w.t Tuhan yang menjadikan dan mengaturkan kehidupan manusia. Allah s.w.t telah menetapkan bahawa kebahagiaan boleh dicapai atau dimiliki oleh manusia hanya dengan agama, dengan mentaati Allah s.w.t dan mengikuti sunnah Nabi s.a.w.

Kekayaan harta tidak akan dapat memberikan seseorang itu kebahagiaan. Dengan harta manusia mungkin boleh memenuhi banyak keperluan dunia atau menikmati keseronokan.

Atau dengan kata lain, dengan harta manusia boleh menjadikan hidup mereka lebih mudah, lebih ceria, dan lebih seronok.

Tetapi perlu kita faham bahawa keceriaan dan keseronokan adalah bersifat luaran dan sementara. Ia jauh sekali daripada hakikat kebahagiaan hakiki yang dapat mengisi jiwa manusia.

Kita tidak dilarang mencari harta kekayaan. Tetapi janganlah kekayaan itu kita sangka menjadi syarat utama untuk menjadi bahagia.

Jika kita sangka kekayaan dapat memberi bahagia, perhatikan di keliling kita. Keruntuhan rumah tangga, kerosakan akhlak anak-anak remaja dan pelbagai lagi gejala melanda golongan kaya dan berharta. Gejala-gejala itu adalah petanda dan bukti golongan berkenaan tidak memiliki kebahagiaan dalam hidup mereka.

Begitu juga jika hidup tanpa berharta dan tidak mentaati perintah Allah s.w.t, itu pun tidak akan membawa bahagia. Hal ini memang kita sedia sedar.

Oleh itu baik dalam miskin atau kaya, kebahagiaan hidup kita akan hadir sekiranya hidup yang kita jalani adalah berteraskan agama yakni taat akan perintah Allah s.w.t dan mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik pada kita semua agar tidak terkeliru dengan helah dunia. Aamiin.

Wallahu ‘a’lam.

2 Komen

Agama Penyelesai Masalah

Hujung minggu lepas saya berkesempatan berada dalam majlis fikir iman dan amal di Masjid Sri Petaling.

Dalam majlis itu penceramah telah menerangkan betapa pentingnya agama – yakni mengamalkan ajaran agama Islam mengikut hukum Allah s.w.t dan sunnah Nabi s.a.w kerana dengan agama segala masalah dalam kehidupan dunia ini dapat diselesaikan.

Lalu penceramah menceritakan sebuah kisah. Seorang alim pada suatu zaman dahulu telah bermusafir dengan menunggang seekor unta.

Tiba di suatu tempat orang alim itu berjumpa dengan tiga orang bersaudara (adik-beradik) sedang kebingungan untuk mencari jalan menyelesaikan tentang masalah pembahagian harta yang diwasiatkan oleh arwah bapa mereka.

Sebelum meninggal si bapa telah meninggalkan 19 ekor unta dan mewasiatkan supaya dibahagikan 1/2 kepada anak yang paling tua, 1/4 kepada anak kedua dan 1/5 kepada yang paling muda. Pembahagian hendaklah dibuat mengikut kadar yang diwasiatkan dan dengan syarat tidak boleh memotong unta-unta tersebut.

Syarat inilah yang membuat mereka bingung kerana bila dikira (secara matematik) yang paling tua akan mendapat 9.5 ekor, anak yang kedua mendapat 4.75 ekor dan yang ketiga pula mendapat 3.8 ekor, sedangkan syaratnya unta-unta tersebut tidak boleh dipotong-potong.

Lalu bertanyalah orang alim tadi kepada mereka bertiga apakah gerangan masalah yang membuatkan mereka bingung? Dan setelah mendengar penjelasan orang alim pun berkata (lebih kurang), “jangan susah, ambil unta saya satu ekor ini dan bahagikan semula”.

Kini jumlah unta mereka sudah jadi 20 ekor dan setelah dibahagikan mengikut kadar yang diwasiatkan, masing-masing mereka mendapat 10 ekor (1/2 daripada 20), 5 ekor (1/4 daripada 20) dan 4 ekor (1/5 daripada 20).

Ketiga-tiga mereka pun gembira dengan penyelesaian itu. Tetapi setelah dicampur semula unta-unta tadi iaitu 10 + 5 + 4 jumlahnya 19 ekor. Mereka berasa hairan lalu memberi tahu orang alim tadi, seekor unta telah terlebih.

Orang alim itu menjawab nah bagi semula seekor yang saya punya tadi. Selesai masalah – orang alim dapat semula untanya, tiga beradik tadi pun dapat membahagikan harta mengikut wasiat bapanya.

Seterusnya penceramah menjelaskan bahawa 19 ekor unta yang hendak dibahagikan-bahagikan itu adalah umpama urusan dunia manakala unta orang alim yang seekor tadi adalah umpama amalan agama. Dengan memasukkan agama dalam urusan dunia (kehidupan harian kita) masalah dunia yang rumit dapat diselesaikan dengan mudah.

Semoga kita semua mendapat pengajaran dan mengambil iktibar daripada kisah ini.

Sekian, wallaahu ‘a’lam.

2 Komen

Tahap Kesedaran Solat Berjemaah Anak Muda Kita

Minggu lepas saya singgah solat fardhu maghrib di sebuah surau di Taman Sri Serdang. Sebelum ini pun saya sekali-sekala singgah di surau itu.

Sungguhpun surau itu tidaklah besar tetapi saya tertarik dengan suasananya yang agak menenangkan hati dan jiwa. Ditambah lagi dengan suasana solat berjemaah dengan pelbagai bangsa asing yang saya kira pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya kira kebanyakan mereka datang dari negara Asia Barat dan Afrika – dengan tubuh mereka yang sasa dan tinggi dan kulit agak gelap. Ada yang sedikit cerah seperti bangsa Bangladesh dan Pakistan. Ataupun mereka datang dari negara-negara lain yang saya tidak dapat pastikan.

Tetapi yang jelas apabila tiba waktu solat terutama fardhu maghrib dan isyak, mereka beramai-ramai muncul dari arah sekeliling surau untuk mengerjakan solat berjemaah. Seakan-akan mereka tinggal atau menyewa di rumah-rumah berdekatan dengan surau itu.

Di dalam surau pula kelihatan mereka seperti sudah biasa atau tidak kekok berjemaah dengan orang-orang tempatan. Kehadiran mereka seperti dapat dan sudah diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di surau itu.

Kehadiran mereka juga menjadikan sebahagian besar ruang solat surau itu terisi dan menambahkan lagi pahala serta berkat solat berjemaah kerana Allah s.w.t lebih menyukai akan solat berjemaah yang lebih ramai atau besar bilangannya.

Lihatlah pelbagai bangsa tidak kira dari mana mereka tetapi atas pegangan agama yang suci iaitu Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang bertunjangkan dua kalimah syahadah amat mengambil berat tentang solat berjemaah.

Tetapi sayang di kalangan ahli-ahli jemaah tempatan, mereka adalah daripada golongan yang sudah berumur dan warga tua atau emas. Sementara anak-anak muda remaja tidak kelihatan melainkan beberapa pelajar sekolah tahap menengah.

Ke manakah pergi mereka anak-anak muda belia? Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan atau andaian sendiri mengenai senario ini. Cuma yang jelas dapat saya katakan bahawa tahap kesedaran akan kepentingan solat berjemaah di kalangan anak-anak muda kita masih rendah.

Saya berpendapat demikian kerana saya percaya antara sebab menjadi pendorong pelajar-pelajar asing mengambil berat akan solat berjemaah adalah tidak lain melainkan kesedaran tentang kepentingan akan solat berjemaah.

Kita patut bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t. Sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah mengambil berat tentang solat berjemaah (khususnya sahabat lelaki) dengan mengajak, membimbing dan mendidik mereka yang dekat atau di bawah pimpinan kita agar mengambil berat terhadap solat fardhu secara berjemaah.

Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah agar sentiasa menjaga solat jemaah dengan istiqomah. Aamiin.

1 Komen