Archive for category Solat

Antara Solat Sunat Ba’diah dan Berdoa Bersama-Sama Imam Selepas Solat

Tahukah kita hukum solat sunat sebelum (qobliah) dan selepas solat fardhu (ba’diah, kecuali untuk solat Asar dan Subuh)?

Mengikut pembelajaran saya, hukum amalan tersebut adalah sunat Muakkad iaitu sunat yang diberatkan.

Namun sayang sekali jika diperhatikan terdapat sesetengah para jemaah yang keliru mana satu amalan yang utama selepas solat fardhu iaitu antara berdoa secara berjemaah bersama imam atau mengerjakan solat sunat ba’diah.

Ada yang sanggup setia menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam tetapi selepas itu bangkit meninggalkan surau atau masjid tanpa mengerjakan solat sunat ba’diah.

Mungkin ahli jemaah berkenaan mengerjakan solat ba’diah di rumah masing-masing dan itu adalah yang terbaik.

Tinggalkan komen

Menyempurnakan Salam Sebagai Rukun Sembahyang Ke-13 (II)

Sahabat-sahabat SuaraTaqwa yang dikasihi sekalian.

Sebelum ini kita telah membicarakan perkara di atas dalam artikel berikut:

https://suarataqwa.wordpress.com/2012/10/12/menyempurnakan-salam-sebagai-rukun-sembahyang-ke-13/

Walau bagaimanapun sahabat kita, dikenali sebagai Abu Hafs memberikan maklum balas begini.

Kata beliau melalui sistem pesanan ringkas (SMS), “berpaling hanya makruh. (Berpaling wajah) tidak batal solat, (kerana) dada yang wajib menghadap kiblat. (Manakala) berpaling (wajah semasa memberi salam adalah) bukan rukun tetapi sunat (sahaja). Yang rukun(nya)adalah ucapan Assalaamu’alaikum. Macam (juga) takbir, angkat tangan (semasa takbir ratulihram adalah) sunat. Yang wajib (adalah) ucapan Allaahuakbar.

Wallaahu’a’lam.

Nota: tulisan dalam kurungan adalah tambahan daripada SuaraTaqwa bagi memperjelaskan lagi maksud yang ingin disampaikan oleh Abu Hafs.

Tinggalkan komen

Menyempurnakan Salam Sebagai Rukun Sembahyang Ke-13

Assalaamu’laikum wbt.

Sahabat-sahabat SuaraTaqwa sekalian.

Semoga semua dalam Redha dan Rahmat Allah SWT.

Baiklah.

Menghadapkan wajah ke kiblat adalah satu daripada syarat sah sembahyang. Menurut ahli-ahli fekah, perbuatan menoleh yakni memalingkan muka sama ada ke kiri atau ke kanan semasa dalam sembahyang adalah jatuh kepada perbuatan yang membatalkan sembahyang.

Oleh yang demikian kita hendaklah memastikan agar muka atau wajah sentiasa menghadap ke arah kiblat pada sepanjang sembahyang. Hal ini tidak sukar dan tidak menjadi masalah buat kita.

Walau bagaimanapun mungkin ada antara kita tidak menyedari telah melakukan perbuatan berpaling semasa sembahyang menyebabkan sembahyangnya terbatal. Ia boleh berlaku semasa menunaikan rukun sembahyang yang ke-13 iaitu memberi salam.

Menurut guru saya, Allahyarham Tok Ayah Soh, dalam mengucapkan kalimah Assalaamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokaatuh sebagai melaksanakan rukun salam dan penutup sembahyang, wajah kita tidak boleh dipalingkan ke kanan selagi mana ucapan belum sempurna.

Ucapan salam dikira sempurna apabila sebutan sampai pada kalimah ‘alaikum. Maksudnya kesempurnaan ucapan salam dalam sembahyang ialah mengucapkan “Assalaamu’alaikum”. Ini adalah kalimah wajib dalam salam, dan kalimah selepasnya adalah sunat sahaja.

Apabila sempurna ucapan salam dengan kalimah yang wajib seperti dinyatakan tadi, barulah boleh berpaling wajah ke arah kanan. Jika sebelum itu kita sudah berpaling, maka menurut guru saya sembahyang boleh batal kerana dalam keadaan sembahyang belum selesai, kita sudah berpaling wajah daripada arah kiblat.

Manakala kadar berpaling yang dikira sempurna ialah dengan ukuran dengan kadar pandangan mata kanan kita nampak hujung bahu kanan.

Wallahu’a’lam.

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua kalangan orang-orang yang mengambil berat akan kesempurnaan sembahyang.

Aamin Yaa Robbal’Aalamin.

6 Komen

Meringkaskan Solat Berjemaah Atau Bacaan Doa

Assalaamu’alaikum sahabat Suarataqwa sekalian. Semoga sentiasa dalam limpah Rahmat dan Keberkatan Allah swt.

Kita mungkin pernah dengar kisah Baginda Nabi saw meringkaskan solat berjemaah disebabkan terdengan ada anak kecil menangis.

Selain itu, solat jemaah yang diikuti oleh orang-orang tua dan uzur juga digalakkan untuk diringkaskan.

Pada masa ini masuk waktu solat fardhu di Malaysia agak lewat jika diukur dengan waktu jam standard. Misalnya solat fardhu Maghrib masuk sekitar jam 7.30 malam dan solat Isyak pula sekitar jam 8.40 malam. Tetapi yang nampak agak ketara ialah waktu solat fardhu Subuh masuk sekitar jam 6.10 minit pagi.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat-pejabat kerajaan, waktu pagi memang waktu agak sibuk dan terasa masa berjalan sangat pantas kerana sesetengahnya terpaksa keluar rumah awal untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum bergegas pula mengejar masa untuk merakam waktu masuk kerja.

Berikutan itu terdapat sesetengah surau yang ahli jemaahnya majoriti bekerja di pejabat kerajaan terpengaruh dengan situasi ini dengan memendekkan atau meringkaskan solat fardhu Subuh dengan membawa bacaan surah-surah yang pendek.

Ringkas kata, kesuntukan masa berikutan waktu masuk solat fardhu yang agak lewat menyebabkan solat fardhu Subuh turut diringkaskan bagi menyelesaikannya lebih awal dengan tujuan untuk membolehkan para jemaah keluar awal pagi.

Ada berlaku pada rakaat kedua solat fardhu Subuh imam hanya membaca surah Al-Ikhlas sedangkan solat fardhu Subuh adalah antara solat yang disunatkan untuk membaca surah yang lebih panjang.

Mungkin atas faktor kekangan masa tadi, adalah wajar dibacakan surah yang tidak panjang. Tetapi dari segi syarak dan sunnah, saya tidak pasti adakah sebab dan alasan ini boleh diterima atau tidak?

Namun yang peliknya bagi solat yang sama tadi, sesudah selesai, imam membaca doa yang agak panjang seolah-olah lupa atau tidak sejajar dengan tujuan solat yang telah diringkaskan itu.

Kalaulah demikian, mana satu yang lebih wajar atau lebih utama antara meringkaskan bacaan dalam solat berbanding dengan meringkaskan doa?

Keadaan ini mungkin juga dipengaruhi oleh trend para imam gemar membawa bacaan doa selepas solat agak panjang dan ada sesetengah itu meleret-leret hingga ada yang tidak sedar mengulang bacaan doa yang sama.

Inilah yang saya dapat perhatikan keadaan yang sedang terjadi di surau-surau sekarang. Pada saya ini adalah suatu penyakit yang bahaya.

Ia umpama orang yang berbadan gempal atau sasa pada awalnya dikatakan sihat berbanding dengan orang kurus. Tetapi dalam diam penyakit yang tidak nampak seperti jantung, darah tinggi dan kecing manis sedang membiak di dalam tubuh badannya. Di luar nampak sihat tetapi di dalam sedang diserang penyakit.

Begitulah juga amalan-amalan zahir yang keterlaluan seperti berdoa panjang-panjang nampak baik apatah lagi imam yang membawanya mempunyai suara yang lunak dan dengan nada yang bermacam-macam. Nampak sangat baik dan menarik amalan ini. Tetapi amalan sebegini jika tidak diawasi akan mengundang penyakit dalam iaitu penyakit hati yang amat kronik.

Tidak hairanlah kenapa kita sudah sukar untuk membezakan mana satu yang lebih utama dan dalam hal kita bincangkan ini sebenarnya yang lebih utama ialah meringkaskan bacaan doa berbanding dengan meringkaskan solat.

Semoga Allah swt memberikan Taufik dan Hidayah kepada kita agar tidak diserang penyakit dalam (penyakit hati) seperti mereka yang keliru.

Wallahu’a’lam.

1 Komen

Hak Mengerjakan Solat Sunat Qobliah

Setiap sesuatu mempunyai hak yang diperuntukkan. Hari ini mari kita berbicara sedikit mengenai tempoh antara azan dan solat jemaah.

Di sesetengah masjid tidak mempunyai standard tempoh masa tertentu yang diperuntukkan antara selepas azan dan permulaan solat.

Tetapi ada pula di sesetengah masjid, seperti Masjid India, Kuala Lumpur, terdapat tempoh masa tertentu yang diperuntukkan antara selepas azan dan permulaan solat bagi setiap solat fardhu berjemaah. Tempoh masa ini adalah bagi memberi ruang kepada para jemaah mengerjakan amalan solat sunat sebelum (suant qobliah) kerana amalan ini adalah sunnah baginda Nabi saw.

Mengerjakan solat sunat qobliah adalah hak para jemaah. Ia adalah sunat yang diberatkan (sunat muakkad). Menyegerakan solat berjemaah sesudah selesai azan dengan tanpa memberikan ruang masa yang sepatutnya adalah terjatuh dalam tidak menunanaikan hak.

Apatah lagi masa yang diberikan tidak konsisten. Sebagai contoh kadang-kadang 5 minit atau kadang-kadang 10 minit, bergantung pada bilangan jemaah yang ada pada masa itu.

Tetapi mengambil contoh amalan di Masjid India KL, para jemaah dapat melaksanakan solat sunat sebelum dengan tenang kerana tempoh masa yang dberikan adalah konsisten dan tertulis di papan tanda pada satu di sudut tertentu di dalam masjid.

Jadi betapa baik dan bermanfaatnya kepada para jemaah setempat dan umat Islam amnya sekiranya setiap masjid dan surau khususnya di Malaysia masing-masing menetapkan tempoh masa tertentu secara konsisten antara sesudah azan dan permulaan solat.

Ia bukan hanya sekadar memberi ruang yang selesa untuk para jemaah mengerjakan solat sunat qobliah tetapi menunjukkan bahawa pengurusan masjid faham akan solat sunat qobliah adalah amalan sunnah Nabi saw yang penting.

Semoga kita mendapat taufiq dan hidayah Allah saw agar mengamalkan solat sunat qobliah dan ba’diah dalam pelaksanaan solat jemaah kita. Aamiin.

Wallahu ‘a’lam.

Tinggalkan komen

Tahap Kesedaran Solat Berjemaah Anak Muda Kita

Minggu lepas saya singgah solat fardhu maghrib di sebuah surau di Taman Sri Serdang. Sebelum ini pun saya sekali-sekala singgah di surau itu.

Sungguhpun surau itu tidaklah besar tetapi saya tertarik dengan suasananya yang agak menenangkan hati dan jiwa. Ditambah lagi dengan suasana solat berjemaah dengan pelbagai bangsa asing yang saya kira pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya kira kebanyakan mereka datang dari negara Asia Barat dan Afrika – dengan tubuh mereka yang sasa dan tinggi dan kulit agak gelap. Ada yang sedikit cerah seperti bangsa Bangladesh dan Pakistan. Ataupun mereka datang dari negara-negara lain yang saya tidak dapat pastikan.

Tetapi yang jelas apabila tiba waktu solat terutama fardhu maghrib dan isyak, mereka beramai-ramai muncul dari arah sekeliling surau untuk mengerjakan solat berjemaah. Seakan-akan mereka tinggal atau menyewa di rumah-rumah berdekatan dengan surau itu.

Di dalam surau pula kelihatan mereka seperti sudah biasa atau tidak kekok berjemaah dengan orang-orang tempatan. Kehadiran mereka seperti dapat dan sudah diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di surau itu.

Kehadiran mereka juga menjadikan sebahagian besar ruang solat surau itu terisi dan menambahkan lagi pahala serta berkat solat berjemaah kerana Allah s.w.t lebih menyukai akan solat berjemaah yang lebih ramai atau besar bilangannya.

Lihatlah pelbagai bangsa tidak kira dari mana mereka tetapi atas pegangan agama yang suci iaitu Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang bertunjangkan dua kalimah syahadah amat mengambil berat tentang solat berjemaah.

Tetapi sayang di kalangan ahli-ahli jemaah tempatan, mereka adalah daripada golongan yang sudah berumur dan warga tua atau emas. Sementara anak-anak muda remaja tidak kelihatan melainkan beberapa pelajar sekolah tahap menengah.

Ke manakah pergi mereka anak-anak muda belia? Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan atau andaian sendiri mengenai senario ini. Cuma yang jelas dapat saya katakan bahawa tahap kesedaran akan kepentingan solat berjemaah di kalangan anak-anak muda kita masih rendah.

Saya berpendapat demikian kerana saya percaya antara sebab menjadi pendorong pelajar-pelajar asing mengambil berat akan solat berjemaah adalah tidak lain melainkan kesedaran tentang kepentingan akan solat berjemaah.

Kita patut bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t. Sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah mengambil berat tentang solat berjemaah (khususnya sahabat lelaki) dengan mengajak, membimbing dan mendidik mereka yang dekat atau di bawah pimpinan kita agar mengambil berat terhadap solat fardhu secara berjemaah.

Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah agar sentiasa menjaga solat jemaah dengan istiqomah. Aamiin.

1 Komen

Keadaan jari tangan semasa rukuk dan sujud

Sebagaimana sahabat sedia maklum, semasa di kampung dulu, saya kerap mengambil peluang mengikuti pengajaran agama selepas maghrib yang disampaikan oleh guru saya itu (Tok Ayah Soh).

Dalam satu pengajaran Tok Ayah Soh ada menerangkan mengenai bagaimana sepatutnya keadaan jari-jari tangan kita semasa sujud. Sama ada dalam majlis ilmu yang sama atau berlainan (saya kurang ingat), beliau juga menjelaskan tentang keadaan sepatutnya jari-jari tangan kita semasa rukuk.

Semasa rukuk, jelasnya tapak tangan hendaklah diletakkan di atas kepala lutut dengan jari-jari tangan kita direnggangkan. Manakala semasa sujud pula tapak tangan hendaklah dirapatkan ke lantai dengan jari-jari tangan kita dirapatkan dan kesemuanya mengarah ke kiblat.

Begitu juga kalau tidak silap saya ada dengar seorang ustaz lain menjelaskan dalam satu majlis ilmu di sebuah surau di Kuala Lumpur – cara yang sama mengenai keadaan jari semasa solat.

Kedudukan jejari tangan kita semasa solat seperti dinyatakan di atas bukanlah wajib atau rukun tetapi melakukan sedemikian adalah lebih afdhal.

Semoga Allah s.w.t memberi petunjuk kepada kita agar kita dapat melaksanakan solat dengan cara terbaik sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Wallahu ‘a’lam.

2 Komen