Archive for category Renungan

Antara Solat Sunat Ba’diah dan Berdoa Bersama-Sama Imam Selepas Solat

Tahukah kita hukum solat sunat sebelum (qobliah) dan selepas solat fardhu (ba’diah, kecuali untuk solat Asar dan Subuh)?

Mengikut pembelajaran saya, hukum amalan tersebut adalah sunat Muakkad iaitu sunat yang diberatkan.

Namun sayang sekali jika diperhatikan terdapat sesetengah para jemaah yang keliru mana satu amalan yang utama selepas solat fardhu iaitu antara berdoa secara berjemaah bersama imam atau mengerjakan solat sunat ba’diah.

Ada yang sanggup setia menadah tangan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam tetapi selepas itu bangkit meninggalkan surau atau masjid tanpa mengerjakan solat sunat ba’diah.

Mungkin ahli jemaah berkenaan mengerjakan solat ba’diah di rumah masing-masing dan itu adalah yang terbaik.

Tinggalkan komen

Menyempurnakan Salam Sebagai Rukun Sembahyang Ke-13

Assalaamu’laikum wbt.

Sahabat-sahabat SuaraTaqwa sekalian.

Semoga semua dalam Redha dan Rahmat Allah SWT.

Baiklah.

Menghadapkan wajah ke kiblat adalah satu daripada syarat sah sembahyang. Menurut ahli-ahli fekah, perbuatan menoleh yakni memalingkan muka sama ada ke kiri atau ke kanan semasa dalam sembahyang adalah jatuh kepada perbuatan yang membatalkan sembahyang.

Oleh yang demikian kita hendaklah memastikan agar muka atau wajah sentiasa menghadap ke arah kiblat pada sepanjang sembahyang. Hal ini tidak sukar dan tidak menjadi masalah buat kita.

Walau bagaimanapun mungkin ada antara kita tidak menyedari telah melakukan perbuatan berpaling semasa sembahyang menyebabkan sembahyangnya terbatal. Ia boleh berlaku semasa menunaikan rukun sembahyang yang ke-13 iaitu memberi salam.

Menurut guru saya, Allahyarham Tok Ayah Soh, dalam mengucapkan kalimah Assalaamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokaatuh sebagai melaksanakan rukun salam dan penutup sembahyang, wajah kita tidak boleh dipalingkan ke kanan selagi mana ucapan belum sempurna.

Ucapan salam dikira sempurna apabila sebutan sampai pada kalimah ‘alaikum. Maksudnya kesempurnaan ucapan salam dalam sembahyang ialah mengucapkan “Assalaamu’alaikum”. Ini adalah kalimah wajib dalam salam, dan kalimah selepasnya adalah sunat sahaja.

Apabila sempurna ucapan salam dengan kalimah yang wajib seperti dinyatakan tadi, barulah boleh berpaling wajah ke arah kanan. Jika sebelum itu kita sudah berpaling, maka menurut guru saya sembahyang boleh batal kerana dalam keadaan sembahyang belum selesai, kita sudah berpaling wajah daripada arah kiblat.

Manakala kadar berpaling yang dikira sempurna ialah dengan ukuran dengan kadar pandangan mata kanan kita nampak hujung bahu kanan.

Wallahu’a’lam.

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua kalangan orang-orang yang mengambil berat akan kesempurnaan sembahyang.

Aamin Yaa Robbal’Aalamin.

6 Komen

Salam Hari Raya Aidil Fitri

Assalamu’alaikum wbt.

SuaraTaqwa mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri, mohon maaf atas segala kesilapan.

Bagaimana dengan sambutan hari raya sahabat-sahabat tahun ini? Semoga penuh ceria dan gembira. Pasti ramai yang datang kunjung-mengunjung bertemu sanak saudara. Bertambah lagi kemeriahan dengan pelbagai hidangan juadah beraneka jenis.

Boleh dikatakan selepas seminggu hari raya, kebanyakan kita kembali semula untuk melaksanakan tugas masing-masing. Warga kota yang berhari raya di kampung-kampung kembali semula bekerja. Semoga semua kembali dengan rasa syukur bersama seribu kenangan bererti terutama bersama-sama ibu bapa dan keluarga.

Perlu kita insaf bahawa hari raya tahun hadapan belum pasti lagi untuk kita. Tetapi sebagai hamba kita tetap berdoa agar Allah SWT memanjangkan umur dan memberi kesempatan lagi untuk kita menjalani ibadat puasa Ramadhan dan menyambut hari raya yang seterusnya.

Aamiin Ya Rabbal ‘aalamin.

Tinggalkan komen

Puasa Ramadhan 1433 dan Olimpik 2012

Assalaamu’alaikum buat sahabat SuaraTaqwa sekalian.

Di tengah-tengah umat Islam menyambut dan menjalani ibadat puasa tahun 1433 Hijri, dunia disajikan dengan pesta atau temasya sukan olimpik 2012.

Adakah kita terfikir mengapa sukan ini dianjurkan pada bulan Ramadhan? Adakah pihak penganjur jahil tentang kalendar Islam? Tidak saudara. Bahkan mereka sedar sejak dari awal lagi penganjuran sukan ini jatuh pada bulan Ramadhan.

Mungkin kita rasa tidak ada kena-mengena penganjuran sukan ini dengan ibadah puasa kita lebih-lebih lagi kita yang tinggal di negara Malaysia sedangkan sukan itu berlangsung di benua Eropah.

Tetapi bukankah setiap hari dan malam kita disajikan dengan perkembangan secara langsung dari semasa ke semasa. Siaran itu sebenarnya secara sedar atau tidak telah melalaikan kita daripada memberikan tumpuan kepada ibadah-ibadah sunat pada malam bulan Ramadhan. Ia juga turut menjejaskan pahala dan kualiti puasa.

Bagi musuh Islam, tidak ada ruang dan kesempatan yang dibiarkan begitu sahaja dalam merealisasikan rancangan untuk melemahkan dan menghancurkan Islam.

Umpama menebang sepohon pokok besar, sedikit demi sedikit dari pelabagai arah batang pokok itu ditarah. Biarpun nampak seperti tiada kesan tetapi lama kelamaan pokok itu akan tumbang.

Begitulah bagi musuh-musuh Islam. Mereka sekarang sedang gembira kerana sedikit sebanyak telah berjaya melalaikan dan melemahkan umat Islam melalui temasya sukan yang mendedahkan pelbagai unsur maksiat.

Lebih menggembirakan mereka apabila umat Islam lebih merisaukan kejayaan merangkul pingat oleh atlit negara Islam masing-masing berbanding memikirkan kualiti puasa dan ibadah bulan Ramadhan mereka.

Ketahuilah, temasya sukan olimpik adalah satu daripada agenda strategik barat dalam menyesat dan meruntuhkan kekuatan Islam.

Semoga Allah swt membuka pintu dan mata hati kita agar dapat melihat segala rancangan jahat musuh-musuh kita.

Wallahu ‘a’lam.

Tinggalkan komen

Amalan Istiqomah Lebih Disukai Allah SWT

Amalan yang lebih disukai Allah ialah amalan yang biarpun sedikit tetapi dilakukan secara
berterusan berbanding amalan yang dilakukan banyak tetapi sekali sekala sahaja
mengikut keadaan.

Misalnya, dalam kehidupan yang semakin hari kebanyakan kita semakin sibuk dengan urusan
keduniaan adalah sukar bagi kita untuk membaca al-Quran sepanjang satu juzuk sehari.
Kalau dapat dilakukan pun sukar untuk diamalkan secara berterusan.

Mungkin hari ini kita mampu baca satu juzuk, esok kita tidak sempat baca pun. Dua minggu lagi
kita sambung tetapi selepas itu entah bila pula kita akan kembali menyambung bacaan kita.

Kita pun mungkin berfikir kalau macam ini bila nak habis atau khatam satu al-Quran? Lalu kita
berhenti terus daripada membacanya.

Sebaliknya jika kita membaca sekadar satu hingga sepuluh ayat atau sekadar yang
diistilahkan sebagai satu ‘ain iaitu dari segi maksud al-Quran meliputi sebahagian
kisah tertentu – secara berterusan misalnya setiap hari.

Memang kalau difikirkan entah berapa lama masa dilalui untuk sampai khatam. Tetapi janganlah
kita memikirkan soal bila akan habis, tetapi sebaliknya hendaklah kita menumpukan kepada
kelangsungan, yakni istiqomah dalam amalan bacaan al-Quran hariannya secara berterusan.

Walaupun mengambil masa lama, tetapi pada suatu masa dengan izin Allah s.w.t bacaan al-Qurannya
sudah khatam.

Demikian juga dalam amalan-amalan lain. Memang untuk beristiqomah agak sukar, mencabar dan
banyak menempuh halangan. Halangan yang lebih besar adalah sikap diri kita sendiri. Oleh
yang demikian, disiplin diri adalah kunci pada kejayaan untuk beristiqomah.

Semoga Allah swt menjadikan kita orang-orang yang istiqomah dalam setiap amalan baik.

Wallaahu’a’laam.

1 Komen

Bertaubat dan Mengambil Pengajaran Daripada Kesalahan dan Dosa

Assalaamu’alaikum w.bt.

Sahabat suarataqwa yang dikasihi Allah s.w.t sekalian.

Baginda Nabi saw adalah Pesuruh dan Hamba Allah yang maksum. Baginda dipelihara daripada melakukan kesalahan dosa. Baginda adalah insan Kamil atau sempurna.

Tetapi kita adalah manusia yang tidak sempurna. Manusia mana yang tidak sempurna ini yang tidak melakukan kesalahan dan kesilapan?

Kewujudan atau kehadiran kita sebagai insan di muka bumi ini adalah atas asbab kesilapan, kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh Datuk Nenek kita dahulu iaitu Baginda Nabi Adam a.s. Baginda melakukan kesalahan melanggar larangan Allah swt adalah semasa berada di dalam syurga Allah swt.

Apatah lagi kita insan lemah. Dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh tipu daya dan pancaroba ini sudah pasti mendedahkan kita akan terlakunya kesalahan dan dosa.

Tetapi Allah swt Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak sekali-kali membiarkan hambanya begitu sahaja setelah melakukan dosa. Allah swt membukakan pintu keampunanNya kepada hamba-hambanya yang bertaubat.

Selain itu, kita perlu bermuhasabah diri bagi merenung akan setiap kesalahan yang dilakukan kerana di dalamnya terkandung banyak pengajaran bagi mereka yang ingin berfikir.

Semoga Allah swt menjadikan kita semua orang-orang yang bertaubat daripada kesalahan dan dosa kita serta menjadikan kita orang-orang yang berakal yang dapat mengambil iktibar atas kesalahan kita.

Aamiin.

Wallahu ‘a’lam.

Tinggalkan komen

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa seorang sahabat telah bertanya Baginda Nabi saw akan kepada siapakah yang lebih utama dia (sahabat itu) berbuat kebaikan?

Baginda mejawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi jelas – “ibumu”. Maka tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?” Jawab Baginda lagi, “ibumu”. Tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda lagi, “ibumu”.

Sahabat itu pun bertanya lagi dengan soalan yang sama, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda, “bapamu”.

Menurut ulama’ hadis ini menerangkan bahawa keutamaan berbuat kebaikan adalah tiga kali lebih utama kepada ibu berbanding kepada bapa. Hal ini adalah sewajar dengan tiga peringkat kesusahan yang ditanggung oleh ibu atas si anak.

Pertama kesusahan sewaktu mengandung. Kedua kesusahan dan kesakitan semasa melahirkan dan yang ketiga ialah kesusahan semasa menyusu serta menjaga dan memelihara seseorang anak.

Betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Dan Allah swt telah memerintahkan manusia lelaki dan wanita supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya melalui firmannya dalam surah Luqman.

Mari sama-sama kita renungkan setakat mana kebaikan yang telah kita perbuat kepada kedua-dua orang tua kita. Adakah kita pada setiap selepas solat fardhu sentiasa mendoakan keampunan untuk kedua-duanya.

Semoga Allah swt memberikan Taufik dan Hidayahnya kepada kita semua agar menjadi anak yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kita dengan selayaknya. Aamiin.

Wallahu’a’lam.

1 Komen