Archive for category Kehidupan Dunia

Erti Kemiskinan

Assalamu’alaikum WBT.

Sahabat-sahabat SuaraTaqwa yang diKasihi dan diRahmati Allah SWT sekalian.

Saya teringat ada terbaca satu petikan ayat. Kalau tidak silap ia mungkin petikan daripada hadis baginda Nabi SAW. Untuk kepastian, minta sahabat-sahabat semak dan kalau jumpa boleh berikan maklum balas untuk kebaikan bersama.

Potongan ayat tersebut berbunyi “Kemiskinan itu adalah mengharap apa yang ada di tangan orang lain”. Apa yang saya faham ialah selagi mana seseorang itu mempunyai perasaan mengharap pemberian daripada orang, bukannya daripada pemberian Allah SWT, maka pada hakikatnya seseorang itu masih miskin biarpun dia sudah mempunyai harta yang banyak.

Kekayaan yang sebenar adalah terletak pada hati. Mungkin sukar bagi sesetengah kita menyakini hakikat ini apatah lagi pada zaman materialistik semakin menjadi raja.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjaga hati dan iman agar dalam kita berusaha mencari bahagian kita di dunia ini, hendaklah kita menolak dan menjauhi perasaan mengharap akan sesuatu yang ada di tangan orang lain.

Haraplah kepada Allah SWT sahaja. Ia tidak bermaksud kita tidak mengharapkan upah daripada orang yang menyuruh kita atau mengupah kita melakukan kerja kerana itu adalah hak kita. Tetapi jika kita mengharapkan lebih daripada itu (hak kita) maka kita sudah termasuk dalam pengertian mengharapkan sesuatu yang bukan hak kita.

Itulah yang saya faham dengan apa yang dimaksudkan dengan mengharap apa yang ada di tangan orang lain. Dan itulah kemiskinan (hati) yang nyata.

Wallahu ‘alam.

Advertisements

Tinggalkan komen

Puasa Ramadhan 1433 dan Olimpik 2012

Assalaamu’alaikum buat sahabat SuaraTaqwa sekalian.

Di tengah-tengah umat Islam menyambut dan menjalani ibadat puasa tahun 1433 Hijri, dunia disajikan dengan pesta atau temasya sukan olimpik 2012.

Adakah kita terfikir mengapa sukan ini dianjurkan pada bulan Ramadhan? Adakah pihak penganjur jahil tentang kalendar Islam? Tidak saudara. Bahkan mereka sedar sejak dari awal lagi penganjuran sukan ini jatuh pada bulan Ramadhan.

Mungkin kita rasa tidak ada kena-mengena penganjuran sukan ini dengan ibadah puasa kita lebih-lebih lagi kita yang tinggal di negara Malaysia sedangkan sukan itu berlangsung di benua Eropah.

Tetapi bukankah setiap hari dan malam kita disajikan dengan perkembangan secara langsung dari semasa ke semasa. Siaran itu sebenarnya secara sedar atau tidak telah melalaikan kita daripada memberikan tumpuan kepada ibadah-ibadah sunat pada malam bulan Ramadhan. Ia juga turut menjejaskan pahala dan kualiti puasa.

Bagi musuh Islam, tidak ada ruang dan kesempatan yang dibiarkan begitu sahaja dalam merealisasikan rancangan untuk melemahkan dan menghancurkan Islam.

Umpama menebang sepohon pokok besar, sedikit demi sedikit dari pelabagai arah batang pokok itu ditarah. Biarpun nampak seperti tiada kesan tetapi lama kelamaan pokok itu akan tumbang.

Begitulah bagi musuh-musuh Islam. Mereka sekarang sedang gembira kerana sedikit sebanyak telah berjaya melalaikan dan melemahkan umat Islam melalui temasya sukan yang mendedahkan pelbagai unsur maksiat.

Lebih menggembirakan mereka apabila umat Islam lebih merisaukan kejayaan merangkul pingat oleh atlit negara Islam masing-masing berbanding memikirkan kualiti puasa dan ibadah bulan Ramadhan mereka.

Ketahuilah, temasya sukan olimpik adalah satu daripada agenda strategik barat dalam menyesat dan meruntuhkan kekuatan Islam.

Semoga Allah swt membuka pintu dan mata hati kita agar dapat melihat segala rancangan jahat musuh-musuh kita.

Wallahu ‘a’lam.

Tinggalkan komen

Bertaubat dan Mengambil Pengajaran Daripada Kesalahan dan Dosa

Assalaamu’alaikum w.bt.

Sahabat suarataqwa yang dikasihi Allah s.w.t sekalian.

Baginda Nabi saw adalah Pesuruh dan Hamba Allah yang maksum. Baginda dipelihara daripada melakukan kesalahan dosa. Baginda adalah insan Kamil atau sempurna.

Tetapi kita adalah manusia yang tidak sempurna. Manusia mana yang tidak sempurna ini yang tidak melakukan kesalahan dan kesilapan?

Kewujudan atau kehadiran kita sebagai insan di muka bumi ini adalah atas asbab kesilapan, kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh Datuk Nenek kita dahulu iaitu Baginda Nabi Adam a.s. Baginda melakukan kesalahan melanggar larangan Allah swt adalah semasa berada di dalam syurga Allah swt.

Apatah lagi kita insan lemah. Dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh tipu daya dan pancaroba ini sudah pasti mendedahkan kita akan terlakunya kesalahan dan dosa.

Tetapi Allah swt Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak sekali-kali membiarkan hambanya begitu sahaja setelah melakukan dosa. Allah swt membukakan pintu keampunanNya kepada hamba-hambanya yang bertaubat.

Selain itu, kita perlu bermuhasabah diri bagi merenung akan setiap kesalahan yang dilakukan kerana di dalamnya terkandung banyak pengajaran bagi mereka yang ingin berfikir.

Semoga Allah swt menjadikan kita semua orang-orang yang bertaubat daripada kesalahan dan dosa kita serta menjadikan kita orang-orang yang berakal yang dapat mengambil iktibar atas kesalahan kita.

Aamiin.

Wallahu ‘a’lam.

Tinggalkan komen

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa seorang sahabat telah bertanya Baginda Nabi saw akan kepada siapakah yang lebih utama dia (sahabat itu) berbuat kebaikan?

Baginda mejawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi jelas – “ibumu”. Maka tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?” Jawab Baginda lagi, “ibumu”. Tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda lagi, “ibumu”.

Sahabat itu pun bertanya lagi dengan soalan yang sama, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda, “bapamu”.

Menurut ulama’ hadis ini menerangkan bahawa keutamaan berbuat kebaikan adalah tiga kali lebih utama kepada ibu berbanding kepada bapa. Hal ini adalah sewajar dengan tiga peringkat kesusahan yang ditanggung oleh ibu atas si anak.

Pertama kesusahan sewaktu mengandung. Kedua kesusahan dan kesakitan semasa melahirkan dan yang ketiga ialah kesusahan semasa menyusu serta menjaga dan memelihara seseorang anak.

Betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Dan Allah swt telah memerintahkan manusia lelaki dan wanita supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya melalui firmannya dalam surah Luqman.

Mari sama-sama kita renungkan setakat mana kebaikan yang telah kita perbuat kepada kedua-dua orang tua kita. Adakah kita pada setiap selepas solat fardhu sentiasa mendoakan keampunan untuk kedua-duanya.

Semoga Allah swt memberikan Taufik dan Hidayahnya kepada kita semua agar menjadi anak yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kita dengan selayaknya. Aamiin.

Wallahu’a’lam.

1 Komen

Bahaya Perempuan Keluar Rumah

Assalaamu’alaikum buat sahabat SuaraTaqwa yang dikasihi sekalian.

Kini kita kerap mendapat berita tentang kes-kes jenayah yang terjadi pada kaum perempuan terutama anak-anak gadis yang muda remaja.

Jika kita renung dan perhatikan, kebanyakan kes jenayah tersebut berlaku di luar rumah iaitu semasa mangsa berada di luar kediaman dan tanpa pengawasan ibu bapa.

Golongan perempuan adalah golongan yang lemah biar berapa pun usia dan sihat fizikal namum sifat lemah dan sifat keperempuanan tetap tidak terpisah daripada mereka lantas mendedahkan mereka pada ancaman golongan lelaki yang berniat jahat.

Memang benar pesan Baginda Nabi saw mengingatkan agar wanita yang ingin keluar rumah hendaklah ditemani oleh mahramnya iaitu kaum keluarga yang tidak sah menikahinya.

Tetapi masyarakat hari ini nampaknya seperti mengambil mudah akan hal ini dengan sewenang-wenang membiarkan anak-anak gadis keluar rumah tanpa sebab dan keperluan yang mendesak. Adakah kita termasuk dalam golongan yang tidak mengambil berat akan hal anak-anak gadis kita? Nauzubillah.

Selaras dengan hukum-hakam Islam yang tidak berubah merentas masa, maka pesanan Rasulullah adalah sentiasa releven dan wajar dipatuhi oleh umat Islam.

Jika kita umat Islam mengambil berat akan pesanan Baginda Nabi saw, nescaya segala masalah dunia yang melanda hari ini termasuk gejala jenayah terhadap golongan wanita dapat dibendung.

Wallahu’a’lam.

1 Komen

Perbezaan Antara Politik Dan Agama

Ada pihak yang mendakwa bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan atau tidak terpisah. Sejauh mana benar dakwaan ini adalah bergantung pada pemahaman seseorang muslim terhadap agama Islam itu sendiri.

Bukan niat suarataqwa untuk mencampuri dan membawa pembaca membicara tentang politik. Tetapi suarataqwa terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan tentang pemahaman yang mengaitkan politik dan agama.

Untuk mengetahui perhubungan politik dan agama, kita perlu tahu dari mana asal-usul agama Islam dan dari mana pula asal-usul politik khususnya sistem demokrasi.

Selain itu memahami perbezaan ketara antara politik dan agama boleh memberikan kita pandangan yang terang dan jelas apakah kedudukan politik dan agama.

Berikut adalah perbezaan politik dan agama mengikut pandangan suarataqwa.

1. Agama Islam adalah agama suci yang diturunkan Allah SWT kepada manusia melalui Rasul yang Mulia dan sebaik-baik ciptaan iaitu Baginda Nabi saw.

– Politik sistem demokrasi adalah ciptaan barat yang dikuasai oleh Yahudi dan Amerika Syarikat

2. Agama Islam mengutamakan kesucian dan keikhlasan hati kepada Allah swt dengan ganjaran yang dijanjikan pada hari akhirat menjadi dorongan untuk umatnya terus istiqomah berada pada jalan yang benar.

– Politik lebih bersifat populariti. Amalan dalam politik lebih didorong oleh populariti yang disandarkan kepada amalan-amalan baik yang diterima oleh masyarakat.

3. Agama Islam diturunkan Allah untuk kesejahteraan umat manusia di dunia dan di akhirat dan jelas menyatakan bahawa kejayaan dunia dan akhirat adalah satu-satunya dalam agama Islam.

– Politik dicipta oleh manusia untuk mentadbir dan mengurus negara dengan lebih mengutamakan kepentingan hak sama rata tanpa mengira bangsa dan kejayaannya adalah bersandarkan kepada ukuran kekayaan ekonomi dan keamanan hidup di dunia.

4. Agama mempunyai hukum-hakam yang mahu tidak mahu mesti dipatuhi dan ditaati oleh para penganutnya iaitu umat Islam. Hukum-hakam agama dan sunnah Nabi saw menjadi panduan yang jelas dan mudah diikuti.

– Politik mempunyai peraturan yang berubah-ubah mengikut masa dan keputusan yang dibuat juga adalah mengikut kehendak orang ramai atau masyarakat pada sesuatu masa tertentu. Jika pemimpin politik tidak menyukai sesuatu dasar, tetapi masyarakat mendesak, maka pemimpin politik perlu membuat keputusan mengikut kehendak masyarakat. Kalau tidak….

5. Pemimpin agama tidak ditentukan oleh masyarakat tetapi ditentukan oleh syura’ atau kesepakatan ulama’ yang membuat pemilihan bakal pemimpin bersandarkan prinsip-prinsip iman, akhlak dan ilmu agama yang berteraskan sunnah Baginda Nabi saw.

– Pemimpin politik ditentukan oleh masyarakat melalui pilihan raya sistem demokrasi. Walaupun seseorang pemimpin politik itu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dengan berlandaskan prinsip-prinsip dan ajaran Islam, tetapi jika masyarakat tidak dapat menerima caranya, maka pemimpin itu boleh ditolak atau disingkirkan oleh masyarakat melalui pilihan raya.

Banyak lagi perbezaan-perbezaan yang dapat kita ketengahkan tetapi setakat itu sahaja dulu. Suarataqwa juga mengalu-alukan sebarang pandangan daripada sahabat-sahabat pembaca sekalian.

Wallaahu’a’lam.

4 Komen

Kisah Seorang Muallaf

Suatu petang saya singgah solat fardhu maghrib di sebuah masjid lama berhampiran dengan ibu pejabat Mardi Serdang.

Selepas solat fardhu maghrib, seorang wakil ahli masjid membuat pengumuman mengenai seorang saudara baharu / muallaf keturunan India memerlukan sedikit bantuan kewangan. Para jemaah difahamkan jika ada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian selepas selesai solat fardhu Isyak.

Saya rasa ingin tahu dan ternanti-nanti. Tetapi selepas solat fardhu Isyak saya lihat para jemaah terus pulang. Ada yang berkumpulan dengan hal masing-masing.

“Apa sudah jadi dengan pengumuman sebelum solat tadi?”, detik hati kecil saya. Saya terus menunggu dan memerhati sehingga hampir semua ahli jemaah beredar pulang.

Lalu saya menghampiri si muallaf tadi dan bertanyakan kenapa pihak masjid tidak membuka ruang orang ramai memberikan sumbangan kepada si muallaf seperti yang umumkan tadi.

Rupanya pengumuman itu dibatalkan begitu sahaja. Setelah semua ahli jemaah beredar pulang, tinggallah si muallaf dengan seribu harapan beralaskan kesedihan. Sedih dengan cara dan tindakan pihak masjid.

Pihak masjid seperti meragui dan tidak percaya pada si muallaf tadi. Sedangkan pada wajah si muallaf itu dapat saya lihat akan keikhlasan dan kejujuran hati ingin memohon sedikit bantuan belanja untuk dia bermusafir menuntut bagi mempelajari ilmu agama di sebuah pondok di negeri Kelantan.

Saya turut diruntun rasa kecewa. Kecewa kerana saya agak pihak masjid tentu mempunyai banyak hasil sumbangan ahli-ahli jemaah terutama pada hari Jumaat.

Inilah sikap orang-orang yang dikatakan gemar mengimarahkan masjid tetapi tidak tahu akan kepentingan untuk membantu saudara sesama Islam apatah lagi mereka adalah saudara baru.

Suarataqwa berharap agar pihak pengurusan masjid berkenaan atau mana-mana pengurusan masjid yang tidak mengambil berat akan hal seumpama ini agar sedar dan insaf akan tanggungjawab mereka untuk membelanjakan wang yang disumbangkan oleh para jemaah dan anggota kariah kepada mereka yang berhak dan benar-benar memerlukan bantuan.

Semoga Allah SWT mencampakkan ke dalam hati kita rasa pemurah dan kasih sayang terhadap sesama muslim lebih-lebih lagi yang dalam keadaan memerlukan bantuan.

Aamiin.

3 Komen