Archive for category Hadis

Erti Kemiskinan

Assalamu’alaikum WBT.

Sahabat-sahabat SuaraTaqwa yang diKasihi dan diRahmati Allah SWT sekalian.

Saya teringat ada terbaca satu petikan ayat. Kalau tidak silap ia mungkin petikan daripada hadis baginda Nabi SAW. Untuk kepastian, minta sahabat-sahabat semak dan kalau jumpa boleh berikan maklum balas untuk kebaikan bersama.

Potongan ayat tersebut berbunyi “Kemiskinan itu adalah mengharap apa yang ada di tangan orang lain”. Apa yang saya faham ialah selagi mana seseorang itu mempunyai perasaan mengharap pemberian daripada orang, bukannya daripada pemberian Allah SWT, maka pada hakikatnya seseorang itu masih miskin biarpun dia sudah mempunyai harta yang banyak.

Kekayaan yang sebenar adalah terletak pada hati. Mungkin sukar bagi sesetengah kita menyakini hakikat ini apatah lagi pada zaman materialistik semakin menjadi raja.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjaga hati dan iman agar dalam kita berusaha mencari bahagian kita di dunia ini, hendaklah kita menolak dan menjauhi perasaan mengharap akan sesuatu yang ada di tangan orang lain.

Haraplah kepada Allah SWT sahaja. Ia tidak bermaksud kita tidak mengharapkan upah daripada orang yang menyuruh kita atau mengupah kita melakukan kerja kerana itu adalah hak kita. Tetapi jika kita mengharapkan lebih daripada itu (hak kita) maka kita sudah termasuk dalam pengertian mengharapkan sesuatu yang bukan hak kita.

Itulah yang saya faham dengan apa yang dimaksudkan dengan mengharap apa yang ada di tangan orang lain. Dan itulah kemiskinan (hati) yang nyata.

Wallahu ‘alam.

Tinggalkan komen

Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa seorang sahabat telah bertanya Baginda Nabi saw akan kepada siapakah yang lebih utama dia (sahabat itu) berbuat kebaikan?

Baginda mejawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi jelas – “ibumu”. Maka tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?” Jawab Baginda lagi, “ibumu”. Tanya lagi sahabat tadi, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda lagi, “ibumu”.

Sahabat itu pun bertanya lagi dengan soalan yang sama, “siapakah selepas itu?”. Maka jawab Baginda, “bapamu”.

Menurut ulama’ hadis ini menerangkan bahawa keutamaan berbuat kebaikan adalah tiga kali lebih utama kepada ibu berbanding kepada bapa. Hal ini adalah sewajar dengan tiga peringkat kesusahan yang ditanggung oleh ibu atas si anak.

Pertama kesusahan sewaktu mengandung. Kedua kesusahan dan kesakitan semasa melahirkan dan yang ketiga ialah kesusahan semasa menyusu serta menjaga dan memelihara seseorang anak.

Betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Dan Allah swt telah memerintahkan manusia lelaki dan wanita supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya melalui firmannya dalam surah Luqman.

Mari sama-sama kita renungkan setakat mana kebaikan yang telah kita perbuat kepada kedua-dua orang tua kita. Adakah kita pada setiap selepas solat fardhu sentiasa mendoakan keampunan untuk kedua-duanya.

Semoga Allah swt memberikan Taufik dan Hidayahnya kepada kita semua agar menjadi anak yang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kita dengan selayaknya. Aamiin.

Wallahu’a’lam.

1 Komen

Hadis: Antara Dilaporkan Dengan Diriwayatkan

Sahabat suarataqwa yang diRahmati Allah s.w.t sekalian.

Sejak akhir-akhir ini saya kerap menemui buku-buku yang mengambil hadis Nabi s.a.w sebagai bahan rujukan. Ada antaranya yang bukan secara khusus membicarakan hal-hal agama.

Perkembangan ini ada baiknya kerana pengetahuan pembaca dalam hal-hal agama turut bertambah walapun membaca buku-buku bukan khusus bertajuk keagamaan.

Namun begitu ada satu perkara yang saya rasa terpanggil untuk membincangkan dengan sahabat-sahabat sekalian iaitu penggunaan perkataan ‘dilaporkan’ yang cuba mengambil tempat perkataan ‘diriwayatkan’ sebagaimana yang kita temui dalam kitab-kitab agama dulu.

Maksudnya penulis buku berkenaan menggunakan perkataan hadis yang disertakan adalah ‘dilaporkan’ bagi menggantikan perkataan ‘diriwayatkan’ oleh…

Sekali imbas perkara ini tidak ada salahnya selagi ia tidak mengubah fakta siapa sebenar yang menyampaikan hadis berkenaan.

Tetapi jika dihalusi sebenarnya terdapat perbezaan antara kedua-dua perkataan tersebut. Perkataan dilaporkan adalah menunjukkan sesuatu perkara seperti berita atau maklumat disampaikan oleh sesuatu pihak atau seseorang.

Sebagai contoh akhbar-akhbar melaporkan berita mengenai banjir atau kemalangan jalan raya. Selalu terjadi antara satu akhbar dengan satu akhbar yang lain melaporkan tentang perkara yang sama dengan fakta-fakta yang berbeza.

Yang jelas di sini ‘dilaporkan’ adalah berperanan sebagai disampaikan tetapi ia tidak menjamin kesahihan dan ketepatan maklumat dan fakta yang dilaporkan.

Kalau kita lihat dalam hal membicarakan pasal hadis, kesahihan hadis merupakan persoalan utama yang perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum pembicaraan sampai kepada kandungannya.

Sebab itu hadis-hadis sahih disertakan bukan sekadar orang terakhir yang menyampaikan hadis tetapi turut disertakan pertalian periwayat-periwayat terdahulu sehingga sampai kepada periwayat terakhir.

Jelas juga di sini bahawa perakataan ‘riwayat’ dan ‘diriwayatkan’ adalah bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan hadis tetapi pada masa yang sama menjelaskan kesahihan hadis yang ‘diriwayatkan’.

Justeru harus kita faham kedudukan hadis Nabi s.a.w berbanding dengan berita-berita dan maklumat yang boleh dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Adakah layak digunakan perkataan ‘dilaporkan’ mengambil tempat perkataan ‘diriwayatkan’ untuk menyatakan sumber hadis Baginda Nabi s.a.w yang mulia? Apakah perkataan ‘diriwayatkan’ sudah lapuk dan ketinggalan lantas tidak lagi sesuai digunakan dalam penulisan dunia moden hari ini?

Saya menyeru agar penulis-penulis buku perlu berhati-hati dan jangan memandang remeh tentang perkara ini.

Wallahu’alam.

Tinggalkan komen