Mati adalah pasti

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarokaatuh sahabat-sahabat sekalian.

Selamat bersua kembali. Suarataqwa memohon maaf kerana sudah agak lama tidak sempat menyediakan santapan rohaniah.

Bertemu kembali saudara muslimin muslimat sidang pembaca yang dikasihi dan dihormati sekalian.

Setiap insan diberikan Allah s.w.t suatu tempoh tertentu untuk menjalani kehidupan di dunia yang fana ini. Apabila cukup tempoh sampailah masa, saat dan ketika yang tidak dapat ditangguhkan lagi, kita yang bernama insan akan kembali menemui Allah s.w.t Yang Maha Pencipta.

Itulah detik kematian yang memindahkan insan dari alam dunia fana ke alam barzakh (kubur). Setiap kita akan menempuhnya kerana tiada yang kekal melainkan DIA Yang Maha Agung.

Pada dingin subuh hari ini saya kehilangan seorang bapa saudara – pak su yang lebih mesra dipanggil Pak cu. Dalam usia lingkungan 60-an, pada 9 Jun lalu Pak cu diserang angin ahmar (stroke) dan dimasukkan ke hospital. Setelah masuk tujuh hari tidak dapat berpesan apa-apa kepada anak-anak dan isteri (Mak su) Allah telah menjemput beliau kembali menghadap-Nya.

Sebelum ini dalam tahun lepas, 2010 saya kehilangan dua ahli keluarga terdekat yang amat disayangi. Pada bulan Mei Pak long telah kembali ke Rahmatullah setelah hampir enam bulan bergelut dengan barah. Pak Long pergi dalam usia 70-an. Tidak lama selepas itu pada bulan Oktober sepupu yang saya anggap seperti abang sendiri menurut jejak langkah Pak Long kerana menderita penyakit yang hampir lumpuh tetapi tidak dapat dikesan oleh doktor.

Kerana berjauhan, saya tidak sempat menatap wajah terakhir ketiga-tiga orang yang saya sayang. Tetapi saya redha dengan ketentuan Tuhan yang telah memberikan peringatan dan tidak pernah sekali-kali memungkiri janji-Nya.

Marilah sama-sama kita ingat akan janji Allah S.W.t tentang kematian. Sesungguhnya mati adalah pasti.

1 comments

  1. Salam,mashaAllah,coretan yang menarik,
    Tuan blog,saya menjemput saudara untuk memberikan pandangan terhadap artikel yang di tulis oleh saya.Semoga Allah swt memberikan kebaikan kepada saudara/saudari.

    Like

Tinggalkan komen